Jumaat, 12 Oktober 2012

Renungan Jumaat: Perkara Ajaib Tersembunyi Di Dalam Minda


Oleh: Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj

Apakah anda bersetuju jika saya katakan terdapat banyak perkara ajaib tersembunyi di dalam minda?


1) Tenaga ajaib tersembunyi dalam minda
Percaya atau tidak apabila anda sentiasa memikirkan tentang kenyang, anda tidak akan lapar. Buktinya apabila anda menjalani ibadah puasa, anda tidak berfikir pun tentang makan sepanjang hari, tetapi anda tetap mampu melakukan aktiviti-aktiviti kehidupan sebagaimana biasa. Padahal pada hari-hari biasa, awal pagi lagi anda sudah terasa hendak makan.

Demikianlah apabila anda tidak lansung memikirkan tentang penat, anda akan cergas dan bertenaga sepanjang hari.

Sebaliknya apabila anda mula berkata ”Aku malaslah hari ini”, “Aku boringla hari ni”, anda akan benar-benar malas dan boring. Maka jika anda ingin cemerlang dan berjaya, bijak-bijaklah berhubung dengan imaginasi. Imaginasi boleh menjadikan anda apa sahaja. Daripada sini kita boleh simpulkan, ”Kita sendirilah yang meminta setiap apa yang berlaku pada diri kita.”

2) Berkomunikasi dengan minda ke minda
Apabila anda mengingat seseorang, dan jika ingatan anda itu jujur, ikhlas dan bertanggungjawab, dan tiada sebarang gangguan, anda sebenarnya telah pun menghantar gelombang minda kepada orang itu. Anda mungkin mendapat tindak balas yang menakjubkan.

Jika ingatan anda terhadapnya adalah yang baik-baik, dalam masa yang sama insyaALLAH dia akan mengingat yang baik-baik juga tentang anda. Maka kerana itulah sesekali pada saat-saat tertentu anda terkenangkan seseorang yang telah lama anda tidak temui secara tiba-tiba. Barangkali pada saat itu orang berkenaan sedang memikirkan tentang anda dan gelombang mindanya telah mengembara dan akhirnya sampai kepada anda.

Gelombang yang lemah akan tersasar atau tidak sampai ke matlamat ataupun ghaib begitu sahaja ditelan gelombang-gelombang yang lebih kuat yang sentiasa bersimpang siur. Gelombang minda akan lebih hebat kesannya terhadap mereka yang mempunya jalinan emosi ataupun pertalian darah yang rapat misalnya suami isteri, ibu dan anak, adik beradik kembar dan rakan seiras.

3) Daya magnet dalam fikiran beremosi
Tahukah anda apabila anda membenci seseorang, anda sebenarnya telah pun menarik kebencian orang itu terhadap anda. Fikiran yang beremosi ada daya tarikan bagaikan magnet yang akan menarik sebarang pemikiran yang sealiran.

Sebagaimana gelombang minda tadi, kebencian akan terhasil dalam bentuk gelombang-gelombang negatif yang mengembara dan akhirnya sampai kepada orang yang anda benci itu. Oleh itu, seseorang yang menjadikan imaginasinya sebagai salah satu laluan untuk kejayaan tidak boleh berfikiran negatif. Dia kena berfikiran positif supaya pemikiran yang sama akan dipulangkan kepadanya.

4) Mengawal minda untuk lebih berjaya
Tiada siapapun yang boleh membuatkan anda marah jka anda sendiri tidak ingin marah. Soal emosi yang tersentuh adalah perasaan yang boleh dikawal jika anda mahu mengawalnya. Jika anda memang tidak mahu marah anda tidak akan marah. Orang boleh menjadi terlalu sedih kerana dia memberi laluan kepada dirinya untuk berasa sedih. Kesedihan yang melampau-lampau pula bermula daripada emosi yang ditarik-tarik, diiya-iyakan, diransang-ransang dan disungguh-sungguhkan, ibarat api yang dicurahkan petrol ke atasnya. Api akan menyambar hebat padahal jika dibiarkan sahaja, lambat laun ia akan padam sendiri. Kejayaan pertama orang yang berjaya ialah dapat mengawal emosinya.

5) Dua pemikiran dalam masa yang sama
Anda mungkin pernah melihat seseorang yang beremosi pada satu masa tetapi pada masa yang sama bercakap seolah-olah tidak menghadapi sebarang masalah dan ingat, orang ini bukanlah seorang pelakon. Seorang ayah memarahi anaknya dengan kemarahan yang beriya-iya tetapi dalam masa yang sama dia menghadiahkan anda senyuman dan mula bercakap lembut dengan anda. Itu tanda permulaan bagi seorang yang dapat mengawal emosinya. Seorang yang ingin menggapai kejayaan melalui imaginasi perlu lebih pandai mengawal emosi.

6) Minda teransang melalui solat dan doa
Solat itu doa dan doa itu perlu dalam proses kehidupan seseorang manusia. Manusia perlu berdoa untuk menjalinkan hubungan yag erat antara dirinya dengan alam ghaib dan yang terpenting dengan PENCIPTA-nya. Realitinya orang yang sentiasa berdoa dan sentiasa menunaikan solat tepat pada waktunya atau lebih baik pada awal waktu akan dapat membentuk dan meningkatkan kekuatan minda melalui fikiran yang lebih terfokus.

Seorang yang berjaya adalah seorang yang tenang dan ketenangan mutlak ataupun kemuncak bagi ketenangan adalah solat. Hakikat ketenangan tidak ada dalam diri seseorang yang ingkar solat atau tidak pernah berdoa.

Bersama Tok Guru (15 Okt 2012)


Tanyalah Ustaz (10 Okt 2012)

Jumaat, 5 Oktober 2012

Renungan Jumaat: Beratnya Ujian Allah

Setiap kali diuji kita tidak berhak bertanya pada diri mahupun pada siapa sahaja kenapa kita dipilih untuk diuji. Hakikatnya itulah kehidupan. Tidak indah tanpa ujian. Sebagai contoh, bila tiba hari raya 3 ekor ayam daripada 10 ekor ayam dalam reban telah dipilih untuk disembelih. Ayam yang dipilih itu tidak berhak bertanya kenapa dia yang dipilih untuk disembelih, kenapa bukan ayam yang lain. Sebab dia bukan tuan. Hanya tuannya yang berhak membuat apa sahaja yang dikehendaki.

Sudah menjadi lumrah alam bila diuji kita akan mencari Tuhan. Sedangkan yang bukan islam pun akan sebut "Oh my God" dan perkataan-perkataan lain yang merujuk kepada "Oh Tuhan". Sebagai umat Islam kita akan memohon petunjuk daripada Allah S.W.T setiap kali kita ditimpa musibah dan kesakitan kerana hanya Dia yang memahami hati kita, hanya Dia yang sentiasa ada tidak kira siapa pun kita, di mana kita berada.

Ingatlah, kita bukan pemilik. Sampai waktu dan ketika kita mesti memulangkan kembali apa yang dipinjamkan sementara untuk kita. Allah jualah pemilik segala yang diciptakanNya. Terkadang kita merasa kitalah yang paling hebat diuji. Selepas satu ujian, menyusul pula ujian lain yang lebih berat. Sedangkan orang lain lagi berat diuji, bertimpa-timpa. Kenapa kita memikirkan kaki kita yang tidak berkasut sedangkan ramai lagi yang tidak berkaki? Fikirkan kembali dosa dan kesalahan yang pernah kita buat disebalik ujian yang ditimpakan untuk kita.

Sentiasalah bersyukur atas rahmat dan ujian yang diberikan Allah. Fikirkan hikmah yang diaturkan Allah disebalik ujian yang ditimpakan buat kita. Sentiasa memohon diberikan hati yang kuat untuk menghadapi ujian tersebut sbb kita bukan manusia yang sempurna yang dapat menempuhi ujian itu dengan cara yang paling tenang.

"Ya Allah, dunia yang Engkau hamparkan ini indah, tetapi durinya sering menusuk. Nikmat yang Kau berikan takkan dapat untukku menghitungnya. Tetapi ya Allah, hambaMu ini sering alpa dan lena dek buaian mimpi yang tak sudah. Ya Allah, ujian yang Engkau berikan terasa begitu memeritkan, kadangkala ianya menguji kesabaran dan keimananku yang terkadang nipis, senipis kulit bawang. Ya Allah, jika ini ujian yang harus untukku lalui, bantulah aku. Agar aku tidak tersasar dari jalanMu. Agar aku bersyukur dengan ujianMu ini ya Allah"


Buat insan yang sedang diuji, bersabarlah, sesungguhnya Allah bersama-sama kamu. Percayalah, Allah mendengar segala tangisan dan kesedihanmu itu. Ingatlah ujian Allah ini bukan satu penyiksaan, tetapi hakikatnya engkaulah insan yang terpilih. Bersyukurlah kerana diantara yang lain kita insan terpilih untuk diuji sedangkan orang lain langsung tidak tersenarai. Besarnya kasih sayang Allah pada kita. Engkaulah insan yang layak menerima rahmat dan keredhaanNya, sekiranya engkau sabar dan redha.

- www.iluvislam.com

Rabu, 3 Oktober 2012

Sharing is Caring: Pengurusan Masa Berkesan - Rahsia Kejayaan


"Maaf, saya sudah lambat .........................................." 
"Jika saya masih ada masa sedikit lagi..........................." 
"Saya betul-betul minta maaf, saya terlalu banyak kerja.." 

Berapa banyak kali kah anda mendengar alasan-alasan di atas?  Berapa banyak kali kah anda mendengar pekerja-pekerja di pejabat, di rumah, di restoran atau di mana-mana sahaja bercakap mengenai masalah kekurangan masa?

Masa merupakan sumber yang unik. Dari sehari ke sehari, setiap orang mempunyai jumlah masa yang sama iaitu 24 jam; tidak lebih dan tidak kurang. Masa tidak dapat dikumpulkan. Masa tidak dapat ditukar ganti.

Apakah yang membezakan antara orang-orang yang berjaya dengan yang kurang berjaya? Albert E.N. Gray dalam eseinya "The Common Denominator of Success" menyatakan bahawa kejayaan yang dicapai oleh orang-orang yang berjaya bukannya kerana kerja kuat, nasib baik atau bijak dalam selok-belok perhubungan manusia walaupun semua itu adalah penting. Katanya: "Orang yang berjaya mempunyai amalan membuat perkara yang mana orang gagal tidak suka melakukan." 

Faktor utama yang menjadi inti kejayaan orang-orang yang  berjaya ialah mereka sentiasa mengukir amalan keberkesanan dalam hidup mereka. Mereka sentiasa menggunakan fikiran dan tenaga mereka untuk perkara-perkara paling utama, yang paling berfaedah, yang memberikan pulangan maksimum. 

PRINSIP 20/80 
Prinsip 20/80 sangat bertepatan dengan amalan di atas. Prinsip ini telah diperkenalkan oleh Vilfredo Pareto, seorang ahli ekonomi Itali. Mengambil sempena namanya, prinsip ini juga dikenali sebagai Prinsip Pareto. 

Secara ringkasnya, menurut prinsip ini, untuk mencapai keberkesanan pada kadar (optimum) sekitar 80% setiap hari, minggu, bulan, tahun atau dalam seumur hidup kita, kita hendaklah menumpukan perhatian / tindakan kita terhadap perkara-perkara atau tugasan yang paling penting dahulu. Misalnya, jika kita  mempunyai 10 senarai tugasan / kerja pada hari ini dan dapat menumpu atau menyelesaikan 2 tugasan yang paling penting atau paling tinggi pulangannya, pencapaian atau keberkesanan kita pada hari ini ialah 80%. 

Jika rahsia pengurusan masa ini dijadikan sebagai prinsip dan amalan hidup anda, anda adalah tergolong dalam golongan orang-orang yang berkecapaian tinggi - amat berkesan, cemerlang dan berjaya! 

- Taidin Suhaimin