Jumaat, 12 Oktober 2012

Renungan Jumaat: Perkara Ajaib Tersembunyi Di Dalam Minda


Oleh: Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj

Apakah anda bersetuju jika saya katakan terdapat banyak perkara ajaib tersembunyi di dalam minda?


1) Tenaga ajaib tersembunyi dalam minda
Percaya atau tidak apabila anda sentiasa memikirkan tentang kenyang, anda tidak akan lapar. Buktinya apabila anda menjalani ibadah puasa, anda tidak berfikir pun tentang makan sepanjang hari, tetapi anda tetap mampu melakukan aktiviti-aktiviti kehidupan sebagaimana biasa. Padahal pada hari-hari biasa, awal pagi lagi anda sudah terasa hendak makan.

Demikianlah apabila anda tidak lansung memikirkan tentang penat, anda akan cergas dan bertenaga sepanjang hari.

Sebaliknya apabila anda mula berkata ”Aku malaslah hari ini”, “Aku boringla hari ni”, anda akan benar-benar malas dan boring. Maka jika anda ingin cemerlang dan berjaya, bijak-bijaklah berhubung dengan imaginasi. Imaginasi boleh menjadikan anda apa sahaja. Daripada sini kita boleh simpulkan, ”Kita sendirilah yang meminta setiap apa yang berlaku pada diri kita.”

2) Berkomunikasi dengan minda ke minda
Apabila anda mengingat seseorang, dan jika ingatan anda itu jujur, ikhlas dan bertanggungjawab, dan tiada sebarang gangguan, anda sebenarnya telah pun menghantar gelombang minda kepada orang itu. Anda mungkin mendapat tindak balas yang menakjubkan.

Jika ingatan anda terhadapnya adalah yang baik-baik, dalam masa yang sama insyaALLAH dia akan mengingat yang baik-baik juga tentang anda. Maka kerana itulah sesekali pada saat-saat tertentu anda terkenangkan seseorang yang telah lama anda tidak temui secara tiba-tiba. Barangkali pada saat itu orang berkenaan sedang memikirkan tentang anda dan gelombang mindanya telah mengembara dan akhirnya sampai kepada anda.

Gelombang yang lemah akan tersasar atau tidak sampai ke matlamat ataupun ghaib begitu sahaja ditelan gelombang-gelombang yang lebih kuat yang sentiasa bersimpang siur. Gelombang minda akan lebih hebat kesannya terhadap mereka yang mempunya jalinan emosi ataupun pertalian darah yang rapat misalnya suami isteri, ibu dan anak, adik beradik kembar dan rakan seiras.

3) Daya magnet dalam fikiran beremosi
Tahukah anda apabila anda membenci seseorang, anda sebenarnya telah pun menarik kebencian orang itu terhadap anda. Fikiran yang beremosi ada daya tarikan bagaikan magnet yang akan menarik sebarang pemikiran yang sealiran.

Sebagaimana gelombang minda tadi, kebencian akan terhasil dalam bentuk gelombang-gelombang negatif yang mengembara dan akhirnya sampai kepada orang yang anda benci itu. Oleh itu, seseorang yang menjadikan imaginasinya sebagai salah satu laluan untuk kejayaan tidak boleh berfikiran negatif. Dia kena berfikiran positif supaya pemikiran yang sama akan dipulangkan kepadanya.

4) Mengawal minda untuk lebih berjaya
Tiada siapapun yang boleh membuatkan anda marah jka anda sendiri tidak ingin marah. Soal emosi yang tersentuh adalah perasaan yang boleh dikawal jika anda mahu mengawalnya. Jika anda memang tidak mahu marah anda tidak akan marah. Orang boleh menjadi terlalu sedih kerana dia memberi laluan kepada dirinya untuk berasa sedih. Kesedihan yang melampau-lampau pula bermula daripada emosi yang ditarik-tarik, diiya-iyakan, diransang-ransang dan disungguh-sungguhkan, ibarat api yang dicurahkan petrol ke atasnya. Api akan menyambar hebat padahal jika dibiarkan sahaja, lambat laun ia akan padam sendiri. Kejayaan pertama orang yang berjaya ialah dapat mengawal emosinya.

5) Dua pemikiran dalam masa yang sama
Anda mungkin pernah melihat seseorang yang beremosi pada satu masa tetapi pada masa yang sama bercakap seolah-olah tidak menghadapi sebarang masalah dan ingat, orang ini bukanlah seorang pelakon. Seorang ayah memarahi anaknya dengan kemarahan yang beriya-iya tetapi dalam masa yang sama dia menghadiahkan anda senyuman dan mula bercakap lembut dengan anda. Itu tanda permulaan bagi seorang yang dapat mengawal emosinya. Seorang yang ingin menggapai kejayaan melalui imaginasi perlu lebih pandai mengawal emosi.

6) Minda teransang melalui solat dan doa
Solat itu doa dan doa itu perlu dalam proses kehidupan seseorang manusia. Manusia perlu berdoa untuk menjalinkan hubungan yag erat antara dirinya dengan alam ghaib dan yang terpenting dengan PENCIPTA-nya. Realitinya orang yang sentiasa berdoa dan sentiasa menunaikan solat tepat pada waktunya atau lebih baik pada awal waktu akan dapat membentuk dan meningkatkan kekuatan minda melalui fikiran yang lebih terfokus.

Seorang yang berjaya adalah seorang yang tenang dan ketenangan mutlak ataupun kemuncak bagi ketenangan adalah solat. Hakikat ketenangan tidak ada dalam diri seseorang yang ingkar solat atau tidak pernah berdoa.

Bersama Tok Guru (15 Okt 2012)


Tanyalah Ustaz (10 Okt 2012)

Jumaat, 5 Oktober 2012

Renungan Jumaat: Beratnya Ujian Allah

Setiap kali diuji kita tidak berhak bertanya pada diri mahupun pada siapa sahaja kenapa kita dipilih untuk diuji. Hakikatnya itulah kehidupan. Tidak indah tanpa ujian. Sebagai contoh, bila tiba hari raya 3 ekor ayam daripada 10 ekor ayam dalam reban telah dipilih untuk disembelih. Ayam yang dipilih itu tidak berhak bertanya kenapa dia yang dipilih untuk disembelih, kenapa bukan ayam yang lain. Sebab dia bukan tuan. Hanya tuannya yang berhak membuat apa sahaja yang dikehendaki.

Sudah menjadi lumrah alam bila diuji kita akan mencari Tuhan. Sedangkan yang bukan islam pun akan sebut "Oh my God" dan perkataan-perkataan lain yang merujuk kepada "Oh Tuhan". Sebagai umat Islam kita akan memohon petunjuk daripada Allah S.W.T setiap kali kita ditimpa musibah dan kesakitan kerana hanya Dia yang memahami hati kita, hanya Dia yang sentiasa ada tidak kira siapa pun kita, di mana kita berada.

Ingatlah, kita bukan pemilik. Sampai waktu dan ketika kita mesti memulangkan kembali apa yang dipinjamkan sementara untuk kita. Allah jualah pemilik segala yang diciptakanNya. Terkadang kita merasa kitalah yang paling hebat diuji. Selepas satu ujian, menyusul pula ujian lain yang lebih berat. Sedangkan orang lain lagi berat diuji, bertimpa-timpa. Kenapa kita memikirkan kaki kita yang tidak berkasut sedangkan ramai lagi yang tidak berkaki? Fikirkan kembali dosa dan kesalahan yang pernah kita buat disebalik ujian yang ditimpakan untuk kita.

Sentiasalah bersyukur atas rahmat dan ujian yang diberikan Allah. Fikirkan hikmah yang diaturkan Allah disebalik ujian yang ditimpakan buat kita. Sentiasa memohon diberikan hati yang kuat untuk menghadapi ujian tersebut sbb kita bukan manusia yang sempurna yang dapat menempuhi ujian itu dengan cara yang paling tenang.

"Ya Allah, dunia yang Engkau hamparkan ini indah, tetapi durinya sering menusuk. Nikmat yang Kau berikan takkan dapat untukku menghitungnya. Tetapi ya Allah, hambaMu ini sering alpa dan lena dek buaian mimpi yang tak sudah. Ya Allah, ujian yang Engkau berikan terasa begitu memeritkan, kadangkala ianya menguji kesabaran dan keimananku yang terkadang nipis, senipis kulit bawang. Ya Allah, jika ini ujian yang harus untukku lalui, bantulah aku. Agar aku tidak tersasar dari jalanMu. Agar aku bersyukur dengan ujianMu ini ya Allah"


Buat insan yang sedang diuji, bersabarlah, sesungguhnya Allah bersama-sama kamu. Percayalah, Allah mendengar segala tangisan dan kesedihanmu itu. Ingatlah ujian Allah ini bukan satu penyiksaan, tetapi hakikatnya engkaulah insan yang terpilih. Bersyukurlah kerana diantara yang lain kita insan terpilih untuk diuji sedangkan orang lain langsung tidak tersenarai. Besarnya kasih sayang Allah pada kita. Engkaulah insan yang layak menerima rahmat dan keredhaanNya, sekiranya engkau sabar dan redha.

- www.iluvislam.com

Rabu, 3 Oktober 2012

Sharing is Caring: Pengurusan Masa Berkesan - Rahsia Kejayaan


"Maaf, saya sudah lambat .........................................." 
"Jika saya masih ada masa sedikit lagi..........................." 
"Saya betul-betul minta maaf, saya terlalu banyak kerja.." 

Berapa banyak kali kah anda mendengar alasan-alasan di atas?  Berapa banyak kali kah anda mendengar pekerja-pekerja di pejabat, di rumah, di restoran atau di mana-mana sahaja bercakap mengenai masalah kekurangan masa?

Masa merupakan sumber yang unik. Dari sehari ke sehari, setiap orang mempunyai jumlah masa yang sama iaitu 24 jam; tidak lebih dan tidak kurang. Masa tidak dapat dikumpulkan. Masa tidak dapat ditukar ganti.

Apakah yang membezakan antara orang-orang yang berjaya dengan yang kurang berjaya? Albert E.N. Gray dalam eseinya "The Common Denominator of Success" menyatakan bahawa kejayaan yang dicapai oleh orang-orang yang berjaya bukannya kerana kerja kuat, nasib baik atau bijak dalam selok-belok perhubungan manusia walaupun semua itu adalah penting. Katanya: "Orang yang berjaya mempunyai amalan membuat perkara yang mana orang gagal tidak suka melakukan." 

Faktor utama yang menjadi inti kejayaan orang-orang yang  berjaya ialah mereka sentiasa mengukir amalan keberkesanan dalam hidup mereka. Mereka sentiasa menggunakan fikiran dan tenaga mereka untuk perkara-perkara paling utama, yang paling berfaedah, yang memberikan pulangan maksimum. 

PRINSIP 20/80 
Prinsip 20/80 sangat bertepatan dengan amalan di atas. Prinsip ini telah diperkenalkan oleh Vilfredo Pareto, seorang ahli ekonomi Itali. Mengambil sempena namanya, prinsip ini juga dikenali sebagai Prinsip Pareto. 

Secara ringkasnya, menurut prinsip ini, untuk mencapai keberkesanan pada kadar (optimum) sekitar 80% setiap hari, minggu, bulan, tahun atau dalam seumur hidup kita, kita hendaklah menumpukan perhatian / tindakan kita terhadap perkara-perkara atau tugasan yang paling penting dahulu. Misalnya, jika kita  mempunyai 10 senarai tugasan / kerja pada hari ini dan dapat menumpu atau menyelesaikan 2 tugasan yang paling penting atau paling tinggi pulangannya, pencapaian atau keberkesanan kita pada hari ini ialah 80%. 

Jika rahsia pengurusan masa ini dijadikan sebagai prinsip dan amalan hidup anda, anda adalah tergolong dalam golongan orang-orang yang berkecapaian tinggi - amat berkesan, cemerlang dan berjaya! 

- Taidin Suhaimin 

Jumaat, 28 September 2012

Renungan Jumaat: How to make your children pray on their own without a reminder or a quarrel


My Daughter was 12 years old and prayer was like heavy burden on her , So I told her to pray one day and I monitored her. She took the carpet  and threw it  on the ground. I asked her have you prayed - she said yes - Believe me, without feeling I slapped her face  - I know I made a mistake. The situation has troubled me and I cried and I repent to God to forgive me   The slap, the talk, the reminders did not benefit with my child.

One day A friend told me told me story.  She went to one of her friends for a visit. Her friend was not that of a religious person, but when the Adhan prayer was called, her children rushed for prayers without reminders or quarrel.     I said to her how does your children pray on themselves without quarrel or a reminder? !!!!!  -   She said I have nothing to tell you, but before I got married I supplicate  this Dua and until today .
 
After she advised me the supplication Dua – I began to recite it in every Sujud in my  prayers before Tasleem and anytime I could . My Sisters and Brothers  since I began to recite the supplication Dua my daughter is now the first to prayer without reminders or quarrels . She got up in Fajr prayers without any  alarms.  And all her brothers are now eager in praying without any difficulties.Even my mother visited me once and went to sleep and I have to draw the attention to my daughter to wake us up.
   
I know You are now eager to know this Supplication Dua.The Supplication is in the Surae Ibrahim(14), ayah # 40
And Supplication is ...

رَبِّ ٱجۡعَلۡنِى مُقِيمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتِى‌ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلۡ دُعَآءِ (٤٠) 


 14:40] O my Lord! make me one who establishes regular Prayer, and also (raise such) among my offspring  O our Lord! and accept Thou my Prayer.

"Rabbi-Ajal'ni muqeema salaati, wa min Dhurriyyati, rabbana wataqabbal duaa" 
 Start today, do not wait until you get married and until you have kids-"prevention is better then cure"


Saying of Hazrat Ali "Best deed of a man is to forgive and forget." O my Allah, the honour of being Your servant is sufficient. I am proud of the fact that You are my Lord.You are just as I want, so make me just as You like me to be

Selasa, 10 Julai 2012

Adakah Kad Kredit Haram di Dalam Islam?

Oleh Ustaz Zaharuddin Hj Abd Rahman


Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat dan salam buat Rasul junjugan Nabi Muhammad SAW, pemimpin para du’at dan Mujahidin yang telah sempurna menyampaikan amanah dan risalah serta memberika ingatan dan berita baik kepada seluruh manusia. Juga salam ke atas para ahli keluarga Baginda SAW, para sahabatnya yang terpilih serta mujahidin/at dan muslimin/at yang menurut jalan kebenaran Islam.

Penulisan ringkas dan padat ini akan menyentuh aspek berikut:
1. Pengenalan ringkas jenis Kad Kredit utama yang terpakai di dunia sekarang.
2. Hukum setiap urusniaga dan yang berkaitan dengan Kad Kredit.

Penulisan ini ditujukan khas bagi setiap pengguna kad kredit yang mengambil berat di atas hal ehwal halal dan haram dalam urusannya dan kepada setiap insan yang ingin menambah maklumat, bagaimanapun penulisan ini dibuat dalam bentuk ringkas, tanpa menuruti kaedah penulisan tesis ilmiah. Ia sekadar suatu bentuk artikel separa ilmiah dituju pada umum dan diharap dapat menjelaskan ‘mawqif’(pendirian) Islam terhadap kontrak yang kian popular di kalangan msyrkt hari ini.

RINGKASAN MAKLUMAT DAN LATAR BELAKANG KAD KREDIT

1. Takrif Kad Kredit

Menurut Kamus Oxford : “ Ia adalah satu kad yang dikeluarkan oleh Bank atau mana-mana pihak lain, yang mana ia memberi kemudahan kepada pemegangnya untuk memperolehi barang-barang keperluannya secara tangguh bayaran(Hutang)”

‘Hutang’ dari sudut syarak menurut takrifan Al-Qadhi Ibn ‘Arabi “Iaitu urusan pemindahan (pertukaran) hak milik (secara jual beli atau seumpama dengannya), yang mana salah satu pihak secara tunai manakala pihak kedua secara tangguh di atas tanggungannya (dengan masa yang ditetapkan atau tidak)”

Manakala Takrifan yang dikeluarkan oleh Ketetapan Majlis Kesatuan Fiqh Islam Sedunia (Majma’ Fiqh Islami) bagi Kad Kredit adalah : “Satu bentuk penyata sandaran (penyata keterangan) yang diiktiraf, diberikan oleh pengeluar kepada mana-mana individu atau pihak yang diiktiraf melalui kontrak diantara kedua-dua belah pihak, ia membolehkan pemegangnya membuat pembelian barangan atau khidmat2 dari semua pihak yang mengiktiraf penyatan sandaran (kad Kredit) tadi, tanpa perlu membuat pembayaran tunai (segara), kerana ia mengandungi jaminan pembayaran dari pihak pengeluar.”

2. Jenis Kad Kredit

Pembahagian jenis Kad Kredit berdasarakan cara-cara pelangsaian bilnya adalah seperti berikut:
a) Kad Kredit Jenis (Charge Card)
Ia adalah kad kredit yang mewajibkan pemegangnya membayar bil penggunaannya setiap bulan. Antaranya jenisnya : American Express (Hijau), Diners Club. Antara cirinya yang terpenting :-

1) Tidak disyaratkan pemegangnya membuka Akaun Simpanan di Bank Pengeluar @ Pihak Pengeluar Kad. Juga tidak disyaratkan pemegang mengemukakan apa jua Jaminan Tunai kepada Bank Pengeluar bagi melangsaikan seluruh hutang-hutangnya hasil penggunaan kad.
2) Pemegang kad diberi had tertentu (Credit Line), lalu ia boleh menikmati seluruh hak hutang piutang (bayaran tangguh) dalam satu had ‘tempoh izin tangguh jangka pendek’ yang telah ditentukan, iaitu tempoh antara waktu belian dan waktu wajib langsaian bil. Biasanya dalam 55-60 hari, ketika itu, pemegang akan dibekalkan dengan penyata bulanan yang menyebut transaksi urusniaga yang telah digunakan.
3) Jika pemegang lewat melangsaikan kos penggunaannya dari waktu yang ditetapkan, maka pengeluar akan mengenakan penalty akibat lewat yang telah ditetapkan di dalam kontrak perjanjian. Mungkin juga akan ditarik balik kad dan dibaung dari keahlian dan sebagiinya.
4) Mungkin juga pemegang kad jenis ini perlu membayar yuran permohonan sekali sahaja, dan juga yuran pembaharuan kad tahunan.

b) Kad Kredit Yang Menerima Pembaharuan Bil (Revolving Credit Card)
*Jenis ia adalah yang paling banyak tersebar di seluruh dunia. Antaranya Visa Card, Master Card, Diners Card, American Express Card.
• Ia juga mempunyai banyak ciri yang sama dengan yang pertama tadi cuma terdapat beberapa perbezaan utama.
• Pemegang Kad tidak wajib melangsaikan ‘kos guna’ nya secara keseluruhannya setelah mendapat penyata bil dari pengeluar dalam tempoh izin yang diberikan, TETAPI DIBENARKAN UNTUK MEMBAYAR HANYA NISBAH KECIL DARI BIL . Manakala bakinya, pemegang diberi pilihan samada ingin melangsaikannya dalam tempoh izin yang diberi tersebut ataupun dibiarkan bakinya lalu pihak pengeluar akan mengenakan faedah daripada jumlah bil yang tertangguh ini.
• Kad ini tidak mempunyai had tertinggi penggunaan. Ini bermakna pemegang boleh berbelanja sbanyak mana yang disukainya dan hanya perlu membayar nisbah kecil dari bil, manakala bakinya boleh dibayar secara bertangguh dengan dikenakan peratusan faedah.
• Pemegang Kad boleh menggunakannya samada di dalam ataupun di luar negara di mana2 sahaja asalkan pihak peniaga mengiktirafnya.
• Ia mempunyai 3 jenis kebiasaannya : Kad emas, Kad Perak dan Kad Biasa.

Ciri ringkas Kad Kredit:

Antara ciri utama yang berkaitan dengan wujudnya Riba dalam kad ini adalah :-

• Pemegang Kad tidak wajib melangsaikan ‘kos guna’ nya secara keseluruhannya setelah mendapat penyata bil dari pengeluar dalam tempoh izin yang diberikan, TETAPI DIBENARKAN UNTUK MEMBAYAR HANYA NISBAH KECIL DARIPADA BIL. Manakala bakinya, pemegang diberi pilihan samada ingin melangsaikannya dalam tempoh izin yang diberi tersebut ataupun dibiarkan bakinya lalu pihak pengeluar akan mengenakan faedah daripada jumlah bil yang tertangguh ini.

• Kad ini mempunyai had tertinggi penggunaan. Bermakna pemegang hanya boleh berbelanja sebanyak mana yang disukainya selagi mana di dalam kadar maksimum yang dibenarkan, dan hanya perlu membayar nisbah kecil dari bil (sekitar 5 % sahaja), manakala jika bakinya di tangguh sehingga melepasi tempoh percuma (biasanya 30 hari), pelanggan akan dikenakan peratusan faedah. Biasanya kadar faedahnya amat tinggi iaitu sekitar 18-25 % setahun. Inilah Riba yang amat jelas malah amat membebankan dan menindas.

Dalam hal seseorang berhasrat menggunakan kad kredit konvensional yang meletakkan syarat Faedah Riba tetapi ia berazam sentiasa menjaga tempoh pembayaran semula sebelum di kenakan faedah Riba, Kesatuan Fiqh Antarabangsa OIC (OIC Interntional Fiqh Academy) dalam ketetapannya nombor 108, pada persidangan 23-28 September 2000 telah memfatwakan sebagai TIDAK HARUS terutamanya di waktu kewujudan Kad Kredit Islam. Bagaimanapun, ketetapan dalam persidangan yang sama juga telah dibuat; mengharuskan membuat kad kredit konvensional yang tiada meletakkan sebarang syarat Faedah / Riba di dalam kontraknya. Bagaimanapun dengan syarat mestilah melangsaikan jumlah penggunaan sebelum di kenakan faedah Riba.

Beberapa ringkasan hukum berkaitan penggunaan Kad Kredit

1. Yuran Penyertaan, Pembaharuan dan Penukaran Kad
Hukumnya : HARUS, tiada masalah dari sudut syarak, ia dianggap sebagai upah yang telah ditetapkan oleh pihak pengeluar terhadap khidmat yang disediakannya. Juga HARUS jika terdapat perbezaan jumlah yuran khidmat bergantung kepada perbezaan jenis khidmat. Tetapi dengan syarat jumlah kos tersebut mestilah setara dengan khidmat sebenar yang diberikan, jika ia melebihi kos khidmat sebenar, maka ia adalah Riba yang diharamkan.
Demikian keputusan dalam Qarar (ketetapan) dari Majma’ Fiqh Islami (Kesatuan Ulama Fiqh Islam Sedunia OIC) pada persidangnnya ke-3 pada Oktober 1986.

2. Kos Tertentu Dari Peniaga kepada Bank Pengeluar
Adakalanya pihak Bank atau pengeluar Kad akan meletakkan syarat dalam perjanjiannya dengan para peniaga sejumlah ‘kos tertentu’ dalam bentuk peratusan yang akan di ambil dari Bil Penjual (Peniaga), yang mana biasanya berlegar sekitar 2-5% atau 8 % dari jumlah Bil. (Lihat Jones , Sally A, The Law Relating to Credit Cards, London, 1989 ,ms 14)
Hasilnya, apabila Peniaga membuat tuntutan kepada Bank Pengeluar, maka Bank akan segera menunaikan bil (Pemegang Kad) iaitu setelah dipotong jumlah kos yang disebut tadi. Kemudian pihak Bank akan menuntut kos asal (tanpa potongan) hasil penggunaan kad daripada pemegang kad.

Hukumnya : Harus . Berdasarkan pendapat mazhab Hanafi yang sah. Jumlah kos ini dikira hadiah. (Rujuk Fatawa Hindiyyah, juga Fatawa Al-Bazaziyah, Al-Mabsut dan lain lain ). Terdapat ramai para Fuqaha (Ulama Fiqh) mengganggap ia adalah upah wakil (Ujrah Wakalah) kepada Bank kerana menjadi ‘wakil’ bagi Peniaga dalam mempromosikan barangannya serta jaminan wujudnya pelanggan. Ia juga boleh dianggap sebagai Diskaun Khas dari peniaga kepada pengeluar. Ada juga yang mengatakan ia sebagai upah Broker (Ia adalah pandangan Prof. Dr Rafiq Al-Misri).

3. Hadiah dan Jaminan Khas Bagi Pemegang Kad Emas (Gold Card)
Ia bertujuan untuk menarik golongan menengah dan atasan bagi menyertai skim mereka. Maka untuk tujuan itu, mereka menawarkan beberapa bentuk hadiah dan skim Insuran Percuma dan Insuran Kemalangan Perjalanan. Dalam program Hadiah Ahli (Membership Rewards), setiap Ringgit Malaysia (RM) hasil penggunaan Kad Emas, pengguna akan mendapat satu mata. Dan mata ini akan bertambah dan jumlah mata terkumpul tertentu akan membolehkan pengguna menikmati program melancong percuma atau penginapan di hotel percuma, atau diskaun di restoran-restoran dan lain lain. (Lihat : American Express Cards, an exclusive opportunity for a select few)

Hukumnya : berbeza menurut jenis hadiah; ia seperti berikut :-

a) Hadiah Insuran percuma : Hukum Insuran Konvensional telah diputuskan oleh Sidang Kesatuan Ulama Fiqh Islam Sedunia OIC yang pertama pd 1397 H, sebagai Haram kerana mengandungi unsur Riba, Gharar (ketidaktentuan), Jahalah(ketiadaan maklumat tepat semasa transaksi), Judi dan lain lain.

Bagaimanapun dalam konteks ini, hukumnya berlainan kerana pemegang tidak membayar apa-apa kepada syarikat Insuran, oleh itu ia tidak terjebak di dalam hukum haram yang diputuskan, malah ia dianggap sebagai hadiah galakan sahaja dan hukumnya adalah Harus. Ini adalah kerana ia bukannya maksud kontrak tetapi hanya tabi’ (perkara sampingan yang terhasil dari perjanjian).

Telah diiktiraf dalam Kaedah Fiqh bahawa “Dimaafkan yang berlaku pd tawabi’ dan tidak pd lainnya” (Rujuk Majalah al-Ahkam Al-‘Adliyah).

b) Hadiah-hadiah lain : HARUS atas dasar sumbangan dan derma dan galakan. Asalkan ia tidak terjebak dalam muamalat Bank Konvensional Ribawi. Juga dengan syarat hadiah ini terdiri daripada perkara yang halal menurut pandangan Shariah. Bagaimanapun, ulama Mazhab Syafie tidak mengharuskannya atas dasar ‘Sadd az-Zarai’ (Menutup jalan haram dari berlaku).

4. Syarat Menamatkan Kontrak Menurut Kehendak Pengeluar Sahaja
Iaitu pihak pengeluar mempunyai hak untuk menamatkan kontrak walaupun tanpa persetujuan Pemegang kad.

Hukumnya : Syarat ini diterima dan HARUS di sisi Syara’, kerana kontrak yang diikat adalah termasuk dalam bab Kafalah. Ia telahpun dinaskan sebagai kontrak ‘Ghair Lazim’ (Boleh ditamatkan kontrak tanpa persetujuan kedua-dua belah pihak). Terutamanya apabila pemegang kad melanggar perjanjian kontrak.

5. Membeli Emas & Perak dengan Kad Kredit
Ulama Fiqh telah menegaskan bahawa antara syarat sah pembelian emas dan perak dengan wang kertas mestilah transaksi pertukaran berlaku ketika itu juga tanpa sebarang penangguhan, ia disebut “at-taqabud fil hal” dalam istilah Fiqh. Ia adalah berdasarkan Hadith Nabi SAW yang jelas menyatakan syarat dan keperluan itu. Ini adalah kerana wang kertas dianggap dari kalangan harta ribawi (usurious items) dan demikian juga Kad Kredit.

Persoalannya dalam isu Kad Kredit adalah : Adakah peniaga emas dan perak menerima harga bayaran di tempat transaksi jual beli dilakukan?. Dalam hal ini, Persidangan Kesatuan Ulama Fiqh Islam Sedunia OIC telah membuat dua ketetapan ; Iaitu yang lama yang yang baru . Pandangan lama (dalam sidangnya yang ke 9 pada April 1995) menyebut : “Proses terima serah “At-Taqabud” sebenarnya telah terlaksana, iaitu dengan cara melalukan kad kredit tersebut di alat bacaan kad kredit ketika pembayaran dibuat”. Dengan tindakan ini, semua maklumat telah dihantar ke Bank Pengeluar yang akan menguruskan pembayaran selepas itu. Ia juga merupakan ketetapan dari Simposium Ekonomi Islam ke -12 anjuran Dallah al-Barakah pada 1996.

Pandangan baru mereka (Kesatuan Ulama Fiqh Islam Sedunia OIC) ; mereka memfatwakannya sebagai HARAM ( Berdasarkan keputusan nombor 108, pada persidangan 23-28 September 2000 )

Justeru, saya menyarankan agar orang ramai menjauhi hal ini lebih baik dari mengambil mudah. Ini kerana kaedah Fiqh menyatakan “ Keluar dari khilaf adalah lebih diutamakan” . Maka hukumnya : HARAM.

6. Pertukaran Matawang (Money Exchange atau ‘As-Sarf’) Dengan Kad Kredit.
Biasanya, pemegang kad boleh menggunakan kad ini di kebanyakan negara di dunia bagi membeli apa jua barang yang dikehendakinya, dengan penggunaan kad ini, maka pihak Bank Pengeluar akan membayar Bil kegunaan di luar negara tadi secara segera dengan matawang negara yang terbabit. Kemudian menuntut dari Pemegang kad dengan Matawang tempatan (dengan menggunakan harga pertukaran hari tersebut - sebagaimana termaktub di dalam perjanjian) bagi membayar bil dalam tempoh izin sekitar 2-3 minggu.

Jelas, terdapat transaksi pertukaran matawang (As-Sarf) dalam hal ini. Sebagaimana yang dimaklumi, bahawa syarat dalam Islam bagi pertukaran wang adalah At-Taqabud fil hal.

Hukumnya : HARAM. Ini adalah kerana kelewatan Bank menerima timbal balik dari pemegang kad, bagi pertukaran matawang yang telah dilakukannya. Bank hanya mendapat timbal tukaran itu selepas 2-3 minggu, ini kerana Bank menuntut Bil dari pemegang kad hanya selepas dikeluarkan bil penyata selain memberinya had tempoh izin. Justeru tiada taqabud haqiqi ataupun hukmi berlaku disini. Lalu Hukumnya adalah HARAM kerana berlaku Riba Buyu’ . Ia menurut ketetapan Kesatuan Ulama Fiqh Islam Sedunia OIC dalam sidangnya yang ke 12 pada September 2000. BAGAIMANAPUN dikecualikan dari haram dalam keadaan dharurat dan keperluan yang amat sangat.

7. Denda Penalti Kerana Lewat Langsaian Bil Wajib bagi ‘Kredit Kad.
Terkandung di dalam syarat kontrak bagi ‘Credit card, bahawa pemegang kad akan menanggung denda akibat kelewatan melangsaikan bil wajib minimanya dalam tempoh izin (30 hari). Sudah tentu ia berbentuk wang.

Hukumnya : HARAM, terdapat unsur Riba An-Nasiah (Riba Hutang) yang sangat dilarang di dalam Islam kerana terdapat unsur menzalimi manusia lain serta memakan harta manusia tanpa haq. Telah Ijma’ seluruh ulama muslim pengharaman riba ini.

Demikian Keputusan hasil persidangan Fiqh bagi Kad Kredit di Bahrain pada Nov 1998.

BAGAIMANAPUN terdapat keputusan berbeza dari persidangan Ekonomi Islam AL-BARAKAH ke 12 pada tahun 1996, yang memutuskan HARUS, tetapi jumlah denda itu mestilah digunakan untuk tujuan derma kebajikan. Ia dibolehkan berdasarkan kelemahan kefahaman agama dan kesengajaan dalam melewatkan dalam melangsaikan Bil walaupun mampu. Demikian juga pandangan mazhab Maliki dan Syeikh Prof. Mustafa Ahmad Az-Zarqa. Pandangan yang lebih kuat adalah HARAM.

8. Bunga @ Faedah Dikenakan bagi Memperbaharui Bil Bagi Kredit Kad
Terkandung dalam syarat kontrak ‘Kredit Kad’ bahawa pemegang yang tidak ingin melangsaikan bil secara sepenuhnya, maka bil yang berbaki tersebut akan dikenakan faedah. Hukumnya : HARAM, ia adalah Syarat Riba yang dilarang di dalam Islam tanpa sebarang ragu-ragu. Demikian keputusan persidangan Fiqh bagi Kad Kredit di Bahrain pada Nov 1998.

Soalan : Adakah harus seorang muslim memohon Kad ini, yang jelas mensyaratkan faedah bagi bil berbaki?

JAWAPAN : Asalnya adalah HARAM dan batal syarat tersebut. Bagaimanapun terdapat pengecualian apabila ada keperluan mendesak dan tiada pilihan lain, ketika itu hukumnya HARUS, dengan syarat membayar penuh bil tanpa meninggalkan sebarang baki yang boleh dikenakan Faedah.

9. Mengeluarkan Wang dengan Kad Kredit
Ia dianggap pemegang kad membuat pinjaman kepada Bank Pengeluar Kad secara langsung melalui ‘Auto Teller Machine’ bank pengeluar atau cawangannya atau melalui ATM Bank Lain (di kira sebagai wakil).

Hukumnya:

1. HARUS, jika pemegang mempunyai wang yang mencukupi dalam akaunnya. Ketika itu pemegang kad seolah2 mengeluarkan wangnya sahaja. Jika diambil dr bank lain juga demikian. Dan Harus pihak bank mengambil kos upah dengan kadar khidmat mereka yang sebenar.

2. HARAM JIKA Bank Pengeluar mensyaratkan Faedah@bunga hasil pinjaman yang diberikan. Kerana ia adalah Riba al-Qurudh. KECUALI JIKA PIHAK BANK PEMBERI PINJAMAN HANYA MENGAMBIL KOS KECIL YANG TETAP, HASIL KHIDMAT PEMPROSESAN YANG DIBUATNYA SAHAJA. KETIKA ITU HARUS , Demikian qarar Majma’ Fiqh Islam Sedunia pada sidangnya ketiga pada 1986 M.

3. Jika Pemegang tiada jumlah yang mencukupi di dalam akaunnya (berlaku overdraft) atau langsung tiada sbrg akaun. Maka dianggap pengeluarannya itu adalah PINJAMANnya terhadap bank. dan semua hukum pinjaman (al-Qardh) di dalam Islam adalah terpakai ketika itu. Sebagaimana Kaedah: ‘Kullu Qardhin Jarra Naf’an Fahuwa Riba’ Setiap pinjaman yang mensyaratkan sebarang manfaat bagi pihak pemberi pinjaman adalah RIBA.

"..Ya Allah,Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang! Aku bermohon dengan kemurahan rahmat dan kasih sayangMu, Bukakanlah untuk ku, pintu-pintu kebaikan, pintu-pintu keselamatan, pintu-pintu kesihatan,pintu-pintu nikmat, pintu-pintu keberkatan, pintu-pintu kekuatan, pintu-pintu cinta sejati, pintu-pintu kasih sayang, pintu-pintu rezeki, pintu-pintu ilmu, pintu-pintu keampunan dan pintu-pintu Syurga.." Amin.

34 Minit Sehari

Apabila kita melakukan sesuatu pekerjaan, kadang-kala kita terlalu sibuk sehinggakan kita jadikan ia alasan untuk melengah-lengahkan solat atau lebih teruk lagi, meninggalkannya terus. Jikadilakukan sedikit pengiraan, dalam sehari, kita perlu menunaikan solat:

Subuh: 2 rakaat
Zuhur: 4 rakaat
Asar: 4 rakaat
Maghrib: 3 rakaat
Isyak: 4 rakaat

Jadi jumlah keseluruhan adalah 17 rakaat sehari. Katakan seseorang itu mengerjakan solat lebih kurang 2 minit untuk setiap rakaat, maka jumlah masa yang diambil untuk menunaikan solat dalam sehari hanyalah selama 34 minit. Dalam sehari ada 24 jam bersamaan 1440 minit. Jika dikira peratusan masa yang diambil untuk menunaikan solat dalam sehari, hanyalah 2.36%.

Bagaimana pula dalam masa seminggu? 34 minit darab 7 bersamaan 238 minit. 238 minit bersamaan dengan 3.97 jam. Jika dikira dalam sebulan pula, katakan purata dalam sebulan ada 4 minggu.3.97 jam darab 4 bersamaan dengan 15.88 jam.

Dalam setahun pula, 15.88 jam sebulan darab dengan 12 sama dengan 190.56 jam. 190.56 jam ini jika ditukarkan kepada unit hari adalah bersamaan dengan 7.94 hari. Rupanya dalam setahun, masa kita untuk sembahyang hanyalah lebih kurang 8 hari.

Kita kira dari segi purata umur manusia pula. Katakan purata umur seseorang adalah sehingga 60 tahun. Umur 10 tahun merupakan umur seseorang mencapai akil baligh dan sudah mula wajib untuk menunaikan solat. Ini bermakna, seseorang yang berusia 60 tahun perlu bersolat selama 50 tahun. Jika dalam setahun, masa yang diambil untuk menunaikan solat hanyalah 7.94 hari, maka dalam tempoh waktu 50 tahun, masa yang diambil untuk menunai solat hanyalah 397 hari. 397 hari lebih kurang bersamaan 1 tahun 1 bulan.

Bayangkan dalam sepanjang umur kita, Allah hanya menyuruh kita menggunakan 1 tahun 1 bulan dari keseluruhan umur 60 tahun kita untuk menunai solat. Itupun kadangkala masa solat kita kurang kerana uzur, jama', kurang 2 rakaat untuk solat Jumaat.


Jika difikirkan kembali, 34 minit sehari adalah sangat singkat. Tengok wayang 2 jam, shopping berjam-jam, 34 minit tu tak luak pun masa 24 jam kita untuk sehari. Oleh itu, marilah kita sama-sama memperbaiki solat kita dan menghargai masa 34 minit itu dengan bersungguh-sungguh dan penuh khusyuk.

" Ya Allah,Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang! Aku bermohon dengan kemurahan rahmat dan kasih sayangMu, Bukakanlah untuk ku, pintu-pintu kebaikan, pintu-pintu keselamatan, pintu-pintu kesihatan,pintu-pintu nikmat, pintu-pintu keberkatan, pintu-pintu kekuatan, pintu-pintu cinta sejati, pintu-pintu kasih sayang, pintu-pintu rezeki, pintu-pintu ilmu, pintu-pintu keampunan dan pintu-pintu Syurga, " Amin.

Koleksi Doa: Mohon Diberi Rezeki Di Kala Kesempitan


Assalamu'alaikum & Salam Sejahtera...

"Dan tiadalah sesuatu pun daripada makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semua itu tersurat di dalam kitab (Loh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat) yang berkenaan." (Surah Hud: 6)

Menurut Hadis riwayat al-Hakim dan al-Tirmizi daripada Zaid bin Aslam R.A., beberapa orang sahabat Nabi daripada keluarga al-Asy'ariyyin yang baru sampai daripada perjalanan berhijrah merasa lapar. Mereka mengutuskan seorang dari kalangan mereka untuk mendapatkan makanan daripada Nabi S.A.W.

Apabila para utusan kaum tersebut tiba di rumah baginda Rasulullah S.A.W., beliau mendengar baginda Rasulullah S.A.W membacakan ayat ke-6 daripada Surah Hud ini. Utusan tersebut pulang semula kepada keluarganya dan tidak jadi meminta makanan daripada Rasulullah kerana berasa yakin dengan doa yang dibaca oleh Rasulullah.

Setibanya beliau kepada kaum keluarganya tanpa diketahui kaum keluarganya, datanglah dua orang lelaki membawa roti dan daging untuk mereka. Walaupun mereka telah menikmati makanan tersebut sepuas-puasnya masih banyak lagi baki yang tnggal. Akhirnya mereka meminta agar diberikan kepada Rasulullah S.A.W. untuk diagihkan kepada orang lain yang memerlukan makanan.

Selepas itu mereka bertemu dengan Nabi dan mengucapkan terima kasih. Rasulullah S.A.W. menafikan penghantaran makanan itu.

Sahabat yang merupakan utusan keluarga tersebut akhirnya membuat pengakuan yang dia tidak meminta makanan daripada Nabi Muhammad S.A.W. Rasulullah S.A.W. kemudiannya menyatakan itulah dia rezeki Allah yang Allah janjikan buat makhluk-Nya. (Tafsir al-Qurtubi, al-Durrul Manthur, tafsir ayat ke-6 surah Hud)

Alhamdulillah, maka marilah sama-sama kita amalkan doa ini dan jadikanlah ia doa amalan harian agar kita sentiasa dilimpahi rezeki Allah S.W.T. terutama ketika kesempitan. Tetapi perlu juga ingat bahawa doa semata-mata tanpa usaha dan tawakal adalah tidak berguna. Wallahualam.

(Sumber: Buku 101 doa Para Nabi dan Rasul dalam al-Quran oleh Ustaz Haji Zahazan Mohamed)

Rabu, 2 Mei 2012

Kuliah Zohor Eksklusif oleh Ustaz Hassan Din (3 Mei 2012)

Riak Membakar Amalan

Assalamu'alaikum & Salam Sejahtera.
Rasulullah s.a.w bersabda: " Sesungguhnya perkara yang sangat-sangat aku takuti akibat buruknya menimpa kamu ialah syirik yang kecil." Sahabat-sahabat Baginda bertanya: " Apa dia syirik yang kecil itu ya Rasulullah?" Baginda s.a.w menjawab: "( Syirik yangkecil itu) ialah riak - Allah Taala akan berfirman pada hari Kiamat apabila manusia datang dengan amal masing-masing: " Pergilah kepada mereka yang kamu melakukan riak di dunia dahulu ( untuk menunjukan kepada meraka ), kemudian lihatlah, adakah kamu akan dapati sebarang balasan di sisi mereka?" (Mahmud bin Labid r.a)

Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang paling aku kasihi di kalangan kamu dan orang yang paling dekat tempat duduknya denganku dihari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya. Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku pada hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap perkara sia-sia, dan berlagak angkuh, sombong malah ia merasa bangga dengan kesombongannya." Para sahabat bertanya lagi, "wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui maksud perkataan orang-orang yang suka bercakap banyak yang sia-sia, dan yang berlagak angkuh dan sombong, tetapi apakah maksud orang yang bangga dengan kesombongannya? Jawab Rasulullah "ialah orang yang takbur." (Riwayat at-Tarmizi)

1. Orang yang berakhlak mulia adalah orang yang paling dikasihi oleh Rasulullah dan diberi tempat yang paling dekat dengan baginda di hari kiamat nanti.
2. Bercakap-cakap kosong atau perkara-perkara yang sia-sia dan membuat fitnah adalah perbuatan yang dilarang oleh agama kerana ia tidak mendatang apa-apa kebaikan bahkan bakal mengundang azab di hari akhirat kelak.

3. Islam juga melarang umatnya bersifat membangga diri dan memandang rendah serta menghina orang lain tetapi hendaklah bersifat tawaduk dan rendah diri demi menjaga hati dan perasaan orang lain.

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُبۡطِلُواْ صَدَقَـٰتِكُم بِٱلۡمَنِّ وَٱلۡأَذَىٰ كَٱلَّذِى يُنفِقُ مَالَهُ ۥ رِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَلَا يُؤۡمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِۖ فَمَثَلُهُ ۥ كَمَثَلِ صَفۡوَانٍ عَلَيۡهِ تُرَابٌ۬ فَأَصَابَهُ ۥ وَابِلٌ۬ فَتَرَڪَهُ ۥ صَلۡدً۬اۖ لَّا يَقۡدِرُونَ عَلَىٰ شَىۡءٍ۬ مِّمَّا ڪَسَبُواْۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِى ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡكَـٰفِرِينَ


Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhrat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada kaum yang kafir. (Surah Al-Baqarah 2 : Ayat 264)
(Petikan dari Iluvislam.com)

Mengapa Perlu Fokus?

Assalamu'alaikum & Salam Sejahtera.

Fokus adalah amat penting kerana kita boleh beri tumpuan 100% tenaga, usaha & kemampuan kita kepada sesuatu keadaan sahaja. Bayangkan matahari yang terik… tentu la panas kan, kadangkala sampai kita tak tahan dengan kepanasannya…


Bayangkan pula kita mempunyai magnifying glass (kanta pembesar) dan gunakannya untuk menumpukan cahaya matahari kepada satu titik fokus. Apa yang terjadi? Fokus tersebut akan membuatkan kepanasan cahaya tersebut berganda sehingga boleh menyebabkan haba & api…Dengan memberi tumpuan tenaga, usaha dan kemampuan kita pada satu titik fokus, tak kira kerja, perniagaan, atau hidup kita akan berjaya mencapai apa yang dimatlamatkan dengan lebih cepat dan mudah.

Ramai antara kita hilang fokus dalam hidup, itu yang menyebabkan matlamat kita tersasar. Lepas ni, harapnya kita fikirkan magnifying glass & kesannya apabila fokus… harapan tiada lagi kita hilang fokus

(Irfan Khairi - Tips Motivasi)

Sabtu, 28 April 2012

Ceramah Khas April di Masjid Asy Syarif Pekan Meru, Klang

Semua Muslimin dan Muslimat di Jemput Hadir

Tempat: 
MASJID ASY SYARIF PEKAN MERU
PERSIARAN HAMZAH ALANG MERU
42200 KAPAR SELANGOR DARUL EHSAN
TELEFON : +603-33925003



Rabu, 18 April 2012

Petikan Kuliah Zohor Eksklusif: "Kerana Mulut" (18 Apr 2012, Surau MATRADE)

  1. Islam sejak awal lagi mengingatkan umatnya mengenai bahaya penyalahgunaan nikmat lidah yang dianugerahi Allah.
  2. Lidah boleh memulia dan mengangkat maruah seseorang dan dlm keadaan lain, mampu pula utk menghina dan menjatuhkan seseorang. 
  3. Menurut perspektif Islam, lidah akan melambangkan identiti seseorang, sama ada dia bertakwa dan beriman kepada Allah atau sebaliknya.
  4. Alangkah bahagia dan beruntungnya seorang beriman yg menyumbangkan kebaikan dan kedamaian alam melalui ungkapan kata-katanya yg sentiasa bermakna dan bermanfaat.
  5. Ibadah yg paling mudah adalah.. DIAM.

Kuliah Zohor: Kerana Mulut (18 Apr 2012)


Bersenamlah Di Pagi Hari

Senaman pagi amat penting kerana:
  1. Senaman pagi mengerakkan metabolisma (kemampuan membakar lemak/kalori)
  2. Senaman pagi menyebabkan kita lebih bertenaga dan bersemangat sepanjang hari kerana kita berjaya melakukan sesuatu yang baik terhadap diri kita sendiri awal-awal lagi! (*Kajian mengatakan, jika kita senaman, produktiviti/kepantasan kita bekerja akan meningkat 14%!)
  3. Kajian ada mengatakan bahawa senaman akan meningkatkan IQ kita dan kebaikan ini berkekalan sehingga 10 jam selepas senaman! Maknanya, kalau kita senaman jam 7 pagi, otak kita lebih cerdas sehingga jam 5 ptg!
  4. Senaman pada pagi hari akan membantu mengawal selera makan kita sepanjang hari! Ini adalah kerana, semasa senaman, badan kita akan merembeskan endorphin yang akan membantu mengawal selera makan. Jadi kita akan makan apa yang perlu sahaja. Takdelah lemak kita bergudal-gudal!
  5. Senaman pagi yang konsisten, akan membentuk minda dan badan kita untuk bangun secara berdisiplin. Maknanya, kita jadi mudah untuk bangun pagilah. Ini kerana apabila kita cuba sedaya upaya untuk bangun pada waktu yang sama, sistem endokrin dan irama circadian kita akan terbiasa dengan tabiat yang kita bentuk. Badan kita mula belajar. Ini bagus kerana:
  • Badan kita tidak confuse dengan perubahan masa bangun yang ketara dan ini akan membantu kita bangun pagi tanpa jam loceng!
  • Hormon-hormon badan kita akan merembes untuk menyediakan badan kita untuk senaman, menstabilkan tekanan darah, degupan jantung dan aliran darah kepada otot
  • Metabolisma badan dan hormon-hormon yang terlibat dalam proses senaman akan mula meningkat aktivitinya semasa kita tidur lagi, ini kemudian akan membuatkan kita lebih bertenaga dan “alert” untuk memulakan senaman apabila kita mula membuka mata/terjaga dari tidur!
Kesimpulannya kita, senaman pada waktu pagi ni sangat baik berbanding waktu-waktu lain:
  • Cuaca sejuk pada pagi hari membuatkan senaman lebih selesa
  • Mood biasanya lebih baik pada pagi hari kerana kita belum lagi berdepan dengan rintangan dunia
  • Jika senaman di luar, matahari belum lagi mengeluarkan sinar yang berbahaya untuk kulit
(Rujukan: myenthusiasts.org)




"Ya Allah,Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang! Aku bermohon dengan kemurahan rahmat dan kasih sayangMu, Bukakanlah untuk ku, pintu-pintu kebaikan, pintu-pintu keselamatan, pintu-pintu kesihatan,pintu-pintu nikmat, pintu-pintu keberkatan, pintu-pintu kekuatan, pintu-pintu cinta sejati, pintu-pintu kasih sayang, pintu-pintu rezeki, pintu-pintu ilmu, pintu-pintu keampunan dan pintu-pintu Syurga," Amin