Selasa, 3 Jun 2014

Ubat Turun Berat Badan

Menjadi idaman setiap insan dewasa ini, ingin memiliki susuk tubuh yang langsing dan ideal samaada lelaki mahupun wanita. Ini kerana masyarakat hari ini sudah mula terdedah dengan pelbagai sumber maklumat kesan dari kemajuan teknologi masa kini.Masyarakat mula sedar akan betapa banyaknya faedah dan kelebihan seseorang yang memiliki tubuh yang langsing dan ideal.

Di antara kelebihan, memiliki tubuh yang kekal langsing dan ideal ialah seseorang dapat :
  1. Melaksanakan sesuatu tugas harian atau ibadah dengan lebih baik.
  2. Memiliki emosi yang positif.
  3. Akal yang sihat.
  4. Penampilan yang menarik.
  5. Mengurangkan risiko penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, kencing manis(diabetis), serta sakit jantung.
Hal yang paling utama kita semua perlu ketahui ialah ketiga-tiga penyakit kronik tersebut semakin lama semakin meningkat jumlah penghidapnya khususnya di Malaysia kesan dari berat badan yang melampau serta gaya pemakanan yang tidak sihat.
 
Semakin Pantas

Pepatah melayu ada menyebut, ‘masa itu emas’ dan ada juga berbunyi ‘masa itu wang’ mengambarkan betapa manusia sangat perlu menghargai masanya. Setiap perkara khususnya dizaman moden dan mencabar ini harus sentiasa pantas dan lekas. Sesiapa yang lambat dia akan ketinggalan jauh kebelakang.

Majoriti manusia zaman kini bekerja bagi memenuhi keperluan asas utama seperti rumah, pakaian dan makan. Kesemua keperluan ini memerlukan seseorang berusaha keras untuk memiliki wang. Dalam usaha memiliki wang di zaman yang semakin moden dan kompleks kini, masyarakat terpaksa terkejar-kejar dengan urusan kerja yang semakin bertambah, melakukan ‘overtime’ kerja, mengalami ‘workaholic’ sehingga tidak sempat meluangkan masa secukupnya untuk bersenam dan beriadah.
 
Ubat Kurus
 
Oleh yang demikian antara cara yang diambil oleh masyarakat hari ini ialah membeli dan memakan ubat atau produk untuk menguruskan badan tanpa perlu bersenam. Apa buktinya? Buktinya kita boleh saksikan ledakan iklan-iklan ubat-ubat dan makanan kesihatan yang semakin mendapat banyak tempat di dada-dada akhbar mahupun televisyen. Persoalan yang perlu difikirkan bersama, adakah cukup hanya memakan produk-produk ini semata tanpa kita melakukan senaman? Menurut sumber dari Akademi Nutrisi dan Dietetik (2011) yang pertubuhan organisasi terbesar dalam bidang nutrisi dan pemakanan berpengkalan di Amerika Syarikat menyebut, “Produk-produk diet tertentu boleh jadi ia memberi kesan yang dikhendaki. Pun begitu, kita perlu tahu bahawa tidak ada ubat mahupun makanan yang dapat membakar lemak. Tidak ada makanan yang dapat mengubah kod genetik anda. Tidak ada makanan yang boleh mencairkan lemak anda dikala anda hanya menonton televisyen dan tidur. Paling merisaukan, ada makanan tambahan dan produk herba yang boleh membahayakan kesihatan anda malah boleh membawa maut.”

Ubat Kurus Yang Paling Ideal

Ubat yang paling terbaik adalah menanam kemahuan yang tinggi untuk makan makanan yang sihat dan berkualiti serta melakukan senaman secara konsisten. Mulakan dengan mencari sebab kenapa kita perlu memiliki tubuh yang ideal. Gambarkan dalam minda kita secara jelas faedah yang kita perolehi jika mendapat badan yang ideal seperti lebih rasa berkeyakinan,bertenaga, ceria dan tidak risau mendapat sakit yang kronik. Dengan kemahuan yang kuat dan gambaran yang jelas terhadap objektif mencapai berat badan yang ideal, barulah kita lakukan beberapa tindakan yang boleh membantu kita capai objektif itu. Antara tindakan yang boleh kita lakukan adalah seperti berikut:
 
1) Mengawal faktor pencetus
Cipta suasana yang mampu merangsang dan menyokong tabiat mengamalkan pemakanan yang seimbang seperti membeli keperluan dapur yang mengandungi kandungan kalori yang rendah, elak melalui jalan yang berhampiran dengan restoran makanan segera, dan tidak terus menonton televisyen sejurus pulang dari kerja.
 
2) Respon secara membina
Sekiranya kita gagal mengawal kehendak melakukan tabiat lama pemakanan yang kurang sihat, kita boleh bertindak secara konstruktif (membina) terhadap faktor pencetus seperti makan di restoran yang menyajikan pilihan makanan yang sihat, melakukan senaman ringkas bilamana kemahuan untuk kembali kepada tabiat lama tercetus, berlatih untuk menolak secara baik ajakan rakan-rakan untuk makan di restoran yang tidak menyajikan makanan yang sihat, belajar urus stress secara teratur, mempelbagaikan bentuk senaman, dan pelajari resipi makanan baru yang menyihatkan bilamana rasa bosan dengan satu-satu resepi.
 
3) Perkuatkan kesungguhan secara berperingkat.
Mencapai berat badan yang ideal memerlukan masa yang panjang dan usaha yang berterusan. Kita akan cepat rasa putus asa jika kita meletakkan sasaran yang terlalu sukar kita capai dalam masa yang singkat. Mana mungkin kita boleh menurunkan berat badan dari 150kg kepada 70kg dalam masa hanya 1 bulan. Oleh kerana itu, pecahkan sasaran kita tadi kepada sasaran yang berperingkat. Sasarkan setiap 2 bulan kita mampu turunkan berat sebanyak 10 kg dan rekod setiap pencapaian yang kita berjaya capai. Dengan kita melakukakan secara berperingkat-peringkat, kita akan lebih bermotivasi untuk terus melakukan lagi dan lagi usaha menurunkna berat badan kita.

Tiru Tabiat Rasulullah S.A.W

Mungkin ada kalangan kita khususnya orang Islam berpandangan tidak perlulah bersenam sampai berpeluh-peluh dan terlalu meletihkan. Memadai dengan solat lima waktu sehari semalam kerana solat juga adalah senaman bagi tubuh. Benar sekali, solat memang salah satu bentuk senaman rohani dan fizikal. Dengan solat, rohani atau spiritual kita kuat menghadapi cabaran emosi hidup di zaman moden kini. Ini memang sangat benar.

Dengan solat juga kita dapat melakukan gerakan otot dan sendi tubuh kita. Pun begitu, mari kita bertanya secara jujur pada diri kita sendiri, adakah cukup dengan hanya solat, kita sudah boleh membakar lemak yang begitu banyak kita ambil dari pelbagai bentuk makanan harian kita?Adakah makanan harian yang kita ambil kandungannya menyihatkan tubuh? Secara realiti, hanya segelintir sahaja yang mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Sebahagian besar masyarakat khususnya di Malaysia, kurang menitik beratkan hal kualiti makanan yang diambil. Hanya mengutamakan rasa sedap di mulut, tetapi tidak menghiraukan bahaya kandungan yang terdapat dalam makanan tersebut.Buktinya kita boleh menyaksikan semakin banyaknya restoran makanan segera dibuka diseluruh negara. Perkembangan ini tidak akan berlaku sekiranya masyarakat di Malaysia lebih mengutamakan makanan yang sihat dan berkualiti.

Jika kita meniliti diet Rasulullah s.a.w, kita dapati Rasulullah s.a.w sangat menjaga cara pemakanannya. Bila kita membelek sirah baginda, kita akan ketahui Rasulullah akan makan bilamana lapar dan berhenti sebelum kenyang. Jika kita mengamalkan cara Rasulullah s.a.w makan, maka sudah memadai dengan hanya solat sebagai senaman kita. Dengan syarat kita melaksanakan solat itu serupa yang Rasulullah s.a.w lakukan, iaitu berjalan kaki ke masjid untuk solat berjemaah secara lima waktu sehari semalam. Jika kita masih belum dapat amalkan sepenuhya cara Rasulullah S.A.W makan dan solat, maka adalah dinasihatkan untuk kita melakukan senanam yang lebih lagi seperti ber’joging’.

Kesimpulan
 
Cetuskan kemahuan yang tinggi dengan mengenalpasti sebab yang kuat kenapa diri kita sangat perlu memiliki berat badan yang ideal. Lakukan senaman ringkas setiap hujung minggu sekiranya kita terlalu sibuk semasa hari bekerja.Bersenam sehingga tubuh badan kita mengeluarkan peluh agar jantung kita dapat berfungsi menghantar darah yang secukupnya keseluruh organ badan kita dan memecahkan lemak dalam salur darah dengan efektif.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan